Friday, June 11, 2010

aku selepas 12 tahun

Dan setelah hampir 12 tahun, aku hari ini telah 10 hari melepas jawatan PengerusiJKKK Kg. Pondok Batang/Abbey. Jawatan yang menjadi rebutan di tempat lain.Terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa yang telah sama-sama berganding bahu membina kampung yang tercinta. Terima kasih kepada YB (Almarhum Puan Hjh Jenah, Mendiang Arunasalam, Datuk R. Raghavan dan YB. Datuk R. Perumal)Alfatehah kepada AJK yang telah meninggal dunia (Md. Dali Muhd, Hj. Chahat Baba) Semua yang terlibat telah memberikan kekuatan kepadaku untuk bertahan sebagai Pengerusi JKKK.
Terlalu banyak suka duka yang aku lalui. Kekadang tidak tertanggung hati dan perasaan. Melalui liku-liku jalan Abbey 1 hingga Jalan Abbey 10 dengan berbasikal di hujung minggu, menyusuri Jalan Pondok Batang 1 Hingga Jalan Pondok Batang 10 dengan Motorsikal menjadikan aku kadang-kadang cukup simpati kerana masih ada ibu tunggal yang perlukan bantuan, masaih ada anak kecil yang perlukan belaian, dan masih ada ibu bapa yang anak bukan calang-calang kerja merintih menadah simpati. Rumah bocor perlu diganti, Hujan yang kadang-kadang turun basah dapur dan serambi. Halaman becak berlumpur mohon dibinakan longkang. Pun aku tidak pernah lupa Rumah Awam Pondok Batang - yang masyarakatnya perlukan perhatian dan bantuan.
Hari ini aku melangkah pergi. Membawa haluan diri, kerana dah cukup terasa tidak mampu bertarung dengan usia dan kudrat.
Aku penuh berharap - sudah tiada ada yang berkata dan bercakap
Aku penuh berharap - sudah terhenti tohmah dan sindiran
Aku penuh berharap - pengganti lebih hebat dan cekap
Aku penuh berharap - yang rosak akan diganti,yang salah akan dibaiki
yang bengkok dilurusi, yang tersumbat diari
Aku penuh berharap tiada yang membandingi, tiada yang membezai
Sebenarnya : Aku tidak bangga dengan apa yang ada
- Dulu surau kita usang kini telah baru berbatu (Abbey) - bagaimana makmumnya
- Dulu kita bergelap tiada lampu dijalan - hari ini bagai siang TIADA malam - bagaimana kita mensyukurinya.
- Balairaya kita tersergam - bagaimana kita menggunakannya (cuma 2 kali setahun kita berkumpul)
Hari ini aku pergi dalam keliru, tak tahu apa lagi yang dimahu
Hari ini aku pergi dalam lesu, kerna kehabisan daya untuk terus membantu
Hari ini aku pergi ......

Maafilah aku, terlalu banyak silap dan salahlaku,
Maafilah aku, terlalu banyak yang terbiar tidakku ambil tahu
Maafilah aku, terlalu banyak yang terlantar, uzur dan kepayahan...
Maafilah aku, Ya Allah ampunilah aku kiranya amanah yang tertanggung dibahuku dulu, gagal aku lunasi sebaik mungkin.
Maafilah Aku Ya Allah. Subhanallah!
Namun dalam hati - aku bangga mencatat sejarah meskipun sejarah yang tercatat tidak secerah mentari. Meskipun sejarah yang aku catat kelam umpama hujan petang sejuk dan merimaskan.
Terima kasih.
Aku mahu melayari bahtera kehidupan yang masih berbaki sedikit ini dengan cara yang biasa.
Janganlah ada yang menyisihi aku.
Aku masih di sini melalui jalan-jalan yang pernah aku lalui dulu. Aku masih di sini melintasi malam yang diterangi bulan dan cahaya jernih lampu 100wt. Terima kasih JKR, Terima kasih TNB, Terima kasih JKM, terima kasih SAMB. Terima kasih Jaim dan terima kasih semua.
Terima kasih isteri yang tersayang kerana berdiri memberi dorongan semangat. Terima kasih kepada anak-anakku yang dulu terlalu kecil semasa aku hebat di meja mesyuarat, kini dah dewasa, syukur kerana semuanya membesar dengan baik dan berjaya. Terima kasih juga kepada Almarhum Ayahanda dan bonda yang kadang-kadang terpaksa menelan kata dan nista.
Izinkanlah aku menoktahi catatan ini - Aku sayang semua dan aku pohon sayangilah aku.
Selamat bertugas Encik Usly bin Abu - Pengerusi JKKK yang baru.

No comments:

Post a Comment