Tuesday, May 31, 2011

Umur baru 2 Tahun




Lelah juga rasanya, menguruskan kebun getah seluas 5 ekar lebih sikit. Hujung minggu meracun, kekadang buang tunas bila air yang ditakung habis. Menunggu hujan turun memenuhi tadahan, aku memotong rumput dijaluran tengah, biar tidak meninggi anak kayu yang tumbuh. Sehari dapatlah suku atau setengah jaluran. Kerja ini perlu berhati-hati takut serangga menyengat atau lubang yang boleh terbolos menyakitkan kaki. Memang terlalu penat rasanya.

Memang azamku, pada awal Jun ini kerja-kerja menabur baja patut ku lakukan. Jadi kerja-kerja meracun patut dihabiskan. 28 & 29 Mei tamat kerja itu, tapi memang terasa penat yang terlampau. Peluh dibadan membasihi baju, boleh ditadah air peluh yang diperah. Pagi itu aku datang dengan semangat yang tercalar, pintu agar dirempuh sekawan lembu(Entah berapa ekor), anak getah yang baru meninggi habis diratah, ada yang patah dipulas. Celaka lembu dan tuan punya lembu.

Pagi 30 Mei : 7.30 pagi, kerja-kerja membawa baja ke kebun bermula. ( 9 kampit - subsidi RISDA). 9.00 pagi kerja-kerja menabur baja dimulakan. Hingga 11.00 pagi hanya 4 kampit sahaja dapat aku selesaikan. Penat yang melampau. Tanah yang berbukit menyukarkan baja dibawa hingga ke puncak.
Petang aku mulai jam 3.15 petang. Mendaki dan menuruni lurah dan bukit. 6.00 petang baru selesai. Aku harapkan sedikit hujan esok, untuk memudahkan baja terurai. Hujan janganlah terlalu lebat. Tanah berbukit sudah pasti menguntungkan orang di bawah bukit.
Syukurlah pagi itu hujan turun, tidak lebat.......Alhamdullilah. Umurmu baru 2 tahun, suburlah, dan besarlah duhai getah......

Tuesday, May 17, 2011

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bah. Alor Gajah











Tarikh Mesyuarat : 15 Mei 2011



Tempat : ILP Selandar/9.00 pagi



Perwakilan Perhubungan UMNO Negeri Melaka ; En. Roslan (Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka.



Perwakilan UMNO Pusat/MKT : YB. Datu Noh Omar (Menteri Pertanian & Asas Tani)



Ulasan :



1. Agak kecewa juga apabila kita menerima sekadar KETUA PERGERAKAN PEMUDA NEGERI MELAKA, dalam majlis yang begini bermakna kepada ahli UMNO Bah. Alor Gajah. Beginilah layanan sebenar yang kita terima.



2. Lebih tidak selesa apabila agenda Melayu tidak dapat diperkatakan dengan jelas kerana persidangan turut dihadiri YB. Datuk R. Perumal (Pengerusi MIC Negeri) dan YB Datuk Fong Chan Onn (MCA Negeri Melaka). Ucapan Ketua bahagian yang sepatutnya penuh semangat jadi hambar dan berhati-hati.



3. Masa persidangan diambil terlalu banyak untuk memilih G7, sepatutnya telah ada perundingan diluar atau kompromi. Inilah senario UMNO Bah. Alor gajah, tidak pernah bersatu dan berpakat. Nak pilih 7 daripada 9 calon yang bertanding cukup membuang masa.



4. Merujuk penyata mesyuarat, AJK UMNO Bahagian Alor gajah bermesyuarat 2x dalam setahun, Laporan hebat Tahniah AJK bahagian, saya pasti tahun depan pertandingan lebih hebat walaupun koata perwakilan telah bertambah sekali ganda.



Saya tidak mampu menunggu lama, meninggalkan dewan , pengundian masih berjalan.
























16 MEI 2011

PUISI SEORANG CIKGU
Terima kasih anak didikku
Pagi ini kaudatang menemuiku
Dengan senyum dan sekotak
hadiah berwarna merah jambu
Sempena Hari Guru

Terima kasih anak didikku
Tidak lupa pada pesan dan
amanat cikgu
Gembur dan bajailah pohon ilmu
Biar merimbun menjadi
teduhanmu

Terima kasih anak didikku
Tidak lupa pada pesan dan
amanat cikgu
Mengawasi akhlak dan
tingkahlaku
Dalam tinggi iltizam dan iman
yang syumul

Terima kasih anak didikku
Pagi ini kau datang
menghampiriku
Dengan senyum dan sekotak
hadiah berwarna biru
Sempena Hari Guru.

Surat untuk Sahabat

14 Mei 2011
Assalamualaikum untuk sahabatku, Rosli bin Dani.
Tidak dapat terucap lidahku untuk berkata sesuatu apabila kita bertemu. Sesungguhnya pertemuan itu menyentuh hati, hiba benar rasanya apabila melihat kau masih mampu tersenyum.Masih lancar berbicara, masih petah bercerita.

Aku tersendu melihat tubuhmu semakin kurus, di sisimu sebatang tongkat bagi membantu pergerakan. Maha suci Allah, bersabarlah sahabat, tabahkan hati dengan ketentuanNya.

Aku dikhabarkan idapan sakitmu telah hampir 8 bulan. Tidak dapat kubayangkan keadaanmu ketika itu, kesukaranmu ketika itu, peri payahnya perjalanan kehidupanmu.Bersabarlah.

Kau sempat juga bercerita menyebut beberapa sahabat kita yang satu ketika dulu cukup akrab menghabiskan usia kanak-kanak. Sempat mandi sungai, dan lain-lain lagi.Kita sebut juga beberapa kita yang telah mendahului kita. Mudah-mudahan mereka mendapat keampunan dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.Itulah doa kita, insyaallah mudah-mudahan dikabulkan Allah.

Sahabatku,
Surat ini ku tulis walaupun aku tahu kau tidak akan dapat membacanya, aku tulis selang beberapa hari pertemuan kita. Aku tidak mahu dibelenggu hiba yang teramat sangat sekiranya aku tulis surat ini tergesa-gesa. Aku cukup terkilan sampai waktu ini.... aku lupa sepatutnya kita bergambar - sebagai kenang-kenangan, aku pun tak tahu bila lagi kita dapat berjumpa. Kau jauh di utara, balik kampung pun entah bila lagi berkesempatan. Kau semakin uzur tentu semakin sukar untuk bergerak jauh.

Namun, aku cukup yakin dengan kekuatan yang ada dalam dirimu. Mungkin kau masih ingat, kau merupakan ketua murid SKMB tahun 1970 (kita Darjah 6), Masa tingkatan 5 sastera B, kalau tak silap kau pun ketua kelas masa itu(1975), lepas itu kau masuh tentera, lagi hebatlah penampilan diri dan disiplin diri, kekuatan fizikal dan emosi. Aku yakin kau mampu mengharungi kehidupan ini dengan tabah, tenang dan kuat. Aku cukup yakin. Riak muka dan senyum yang kau lempar padaku tempuh hari memceritakan semua keyakinan itu.

Aku tetap berdoa, kau akan sembuh dan seterusnya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Dapat beramal, solat, puasa, beramal jariah dan menunaikan fardu Haji(sekiranya belum). Aku yakin juga, isteri tercinta akan sentiasa bersamamu mengharungi kehidupan susah senang bersama.Bersabarlah.

Akhir kalam, rasa tak puas kita bercerita tempuh hari, tak apalah sekurang-kurangnya pertemuan itu memberi makna yang besar kepada kita Insyaallah.
Mohon maaf, dari aku dan isteri.
Terima kasih.

Monday, May 9, 2011

suka dan duka 9 MEI 2011

Tarikh 9 Mei datang lagi buat kali yang ke 53. Benarlah kata anak-anakku ayah sudah semakin tua.
12.01 th malam, katanya aku terima SMs pertama "ucapan selamat hari lahir: waktu itu aku tidur terlalu lena kerana aktiviti berat pada siangnya.
Aku terus terima ucapan dari isteri, anak-akan dan rakan-rakan. Terima kasih semua.
Dalam usia begini,aku terus lalui kehidupan dengan kadar biasa. Tiada rancangan tertentu untuk selebrit.
Aku panjangkan kesyukuran Kehadrat Allah SWT kerana kehidupan yang diberikan,

Subhanallah
Tengahari itu aku terima berita kematian jiranku. Telah menderita lama penyakit Barah tulang.Telah terlalu menderita.Innaillah....(arwah Sakinah Othman- Ibu gigih)
Cukup terusik juga kerana pada masa yang sama - Ibunya uzur, Kakak tidak sihat,2 orang abang juga sakit. Agak kritikal juga) Selesai jenazah di solat, dan diusung ke pusara, aku sempat menziarahi mereka yang sakit. Cuma ucapan kata bersabarlah...... termampu diucap.

Alhamdulilah
Petang itu, aku terima berita, anakku , Nadhirah berjaya dalam temuduga kerja di Pasir Gudang Johor. Gembira rasa hati. 16 Mei daftar diri. Syukur Alhamdulillah.

Malam : aku ke majlis Tahlil arwah Sakinah, mudah2an diterima amalan dan ditempat dalam kalangan muslimat yang mendapat syufaat . Insyaallah.