Monday, December 26, 2011

musim buah datang lagi







Musim buah mengakhiri tahun 2011. Musim luar jangka yang agak tidak berapa menjadi.
Buah manggis masak bersama-sama getah dan isi yang tidak selesa di makan. Langsat memang semula jadi,kuning mencelah, hijau sebiji-sebiji, sukar dipetik, bila sambut jatuh berderai.Ala hai.
Rasanya masam yang luar biasa. Cempedak tidak lagi diluar pagar,aromanya menyegarkan.Duku langsat masih hijau mungkin awal tahun baru masak, hebat 2 tahun baru boleh dipetik(Berbuah tahun 2011, dapat makan 2012)
Durian kali ni tak berbuah, kalau berbuahpun , dalam bungkusan pun dimakan tupai, jadi tak berbuah pun tak pe.

Wednesday, November 9, 2011

Pergi meminang lagi





Sekali lagi mengetuai rombongan meminang. Kali ini ke Seremban.
Nama yang kena pinang : Ida Zulaikha Zulkifli
Tarikh : 7 Nov. 2011
Perjanjian : 2 tahun /Rm 8000.00
Nama Pasangan : M. zabani A. malek
Situasi : Rombongan kami disambut oleh En. Azman, ketua Taman, juga yang kebetulan berbaju biru.Mesra. Alhamdulilah semuanya mudah dan berjalan lancar. Cincin selamat disarung ke jari manis oleh ibu Zabani.

Berkorban apa saja



raya ni, keluargaku turut sama. seekor lembu dikorbankan, mudah - mudahan amal ini diberkati, diterima. Insya Allah.

Friday, October 21, 2011

Murid Tahun 1986



Nama Murid : Mohd Azizi bin Md. Yamin
Pekerjaan : Auditor Di Kementerian Pelajaran Malaysia
Catatan : Datang bersama rombongan ke SK. Nyalas, untuk membuat pemantauan. Jam 11.30 (20/10/11),ternampakkan cikgu lamanya, dia datang, kenalkan diri,lalu bercerita masa bersekolah di SMK Simpang Bekoh, (Dia kata : cikgu mengajar Geografi, masa ujian dalam markah penuh : 100. )banyak lagi yang diceritakan. Nampak gembira sangat.)tahniahlah.
(Sebelum ini pun saya terjumpa seorang lagi murid : Ab. Halim : Jurutera, Pengamal Darul Syifa, dan terlibat secara langsung urusan Haji & Umrah - pun cerita yang sama)
Anak murid dah berjaya, cikgu dah semakin uzur.
(Saat begini Cikgu juga teringat murid-murid lain, bagaimanakah mereka, berjayakah mereka.....?

Monday, October 17, 2011

Istiadat Konvokesyen ke-6/2011;UNISEL



Nama Penerima : Mohd Ashrani bin Abu Talib
Ijazah Sarjana Muda Industri Multimedia(Kepujian)
Kepujian Kelas Kedua(Tinggi)
Tarikh : 16 OKTOBER 2011.
TAHNIAH - Usaha,doa dan tawakal membuah hasil yang sebenar.
Ingat pesan Pro.Cancelor : Ijazah bukan segalanya.Dunia luas perlukan lebih dari apa yang diperolehi hari ini.
Moga terus maju jaya.

Friday, October 7, 2011

Masih bingung


Dah beberapa bulan kat Sk Nyalas, tapi macam belum mampu untuk terasa serasi. Masih bergelut dengan situasi.masih bingung. Tapi aku pasti semua akan berjalan dengan baik. Usia bersara dah ditambah ke 60 tahun.Aduhai perjuangan diteruskan. Anak murid diutamakan. Fikir Bagaimana bertindak segera. Insyaallah.

Saturday, September 3, 2011

MERDEKA RAYA :1 SEPT 2011


sUKAR juga untuk beraksi depan lensa, terakamla gambar yang tidak memenuhi citarasa.Anak-anak yang semakin dewasa, ayah ibu yang telah semakin tua.

Sunday, August 21, 2011

SK Chabau VS SK Nyalas


Pengenalan : 9 Ogos 2011, 2.00 petang.Aku ke PPD Jasin,Aku terima serahan arahan bertukar ke SK Nyalas.dan perlu mendaftar pada tarikh yang sama.
Pada 15 Ogos 2011, 8.30 pagi, aku bergerak dari SK Chabau.(Terima kasih kepada semua, terutama kepada Puan Hjh.Zainun bte Ab. Latif - Guru Besar, Pn. Hjh. Azizah - GPK 1, dan En. Ab. Talib bin Hassan - GPK HEM, serta semua Warga SK Chabau. Mohon maaf)
--------------
Sudah berhari-hari aku di SK Nyalas(tempat Baru) dan ini juga bermakna sudah berhari-hari jugalah aku tinggalkan SK Chabau. Aku sempat di sana cuma 1 tahun 1 bulan sahaja. Dan aku tidak pasti ke mana tempatku seterusnya dalam usia berkhidmat hanya tinggal 3 tahun.
Tempat baru sudah pasti suasana baru. Begitulah di sini, suasana amat baru.Secara bandingan bolehlah dibuatkan senarai berikut:

Guru Besar: Perempuan/Perempuan
GPK1: Perempuan / Perempuan
GPK HEM: Lelaki / Lelaki
Murid: 190 orang / 463 orang
Guru: 23 orang / 43 orang
Masa balik :115 petang / 1.00petang
Masa Koku: 2.30 - 4.30petang / 3.00 - 5.00 petang
Komputer :ada/ tiada

Hari Rabu9Hari ke 3) aku mengadap puan Guru Besar9Maaflah dah lewat sangat).Sebelum itu GB tiada di sekolah. Aku mendapat sedikit latar belakang sekolah, suasana kerja dan diberikan juga kata semangat. Sempat juga aku beritau kelemahan diri dan mohon bimbingan dan bantuan.

Dalam bilik, sunyi juga, PC/internet tiada. Aku membelek fail-fail kokurikulum dan lain-lain maklumat. Tip-Top - lengkap dan boleh dijadikan panduan untuk meneruskan cara dan kaedah pengurusan yang dibuat. Fail tersusun (Saya tidak faham susunan fail yang betul) baik.
Tahniahlah Mantan Guru Kokurikulum.

Pagi itu juga aku masuk kelas untuk mengajar. Masih Subjek yang sama - Bahasa Melayu murid tahun 4 Bestari. 40 orang murid.(menurut GB - kelas yang agak lemah dan bermasalah disiplin).Aku masuk. Mereka diam, tertinjau-tinjau tandanama - ingin tahu nama guru baru.Nampak terekawal. Walupun ada 1 - 2 orang yang mahu menonjolkan diri.Insyaallah ini akan kulalui walaupun sukar.
(Tahun 4A2 yang aku tinggalkan di SK Chabau- agak berbeza, tak ramai cuma 20 orang,tapi agak letih dan lelah mengawal mereka. Nama-nama seperti Hidayah, Fateha, Farhana,Adam,Razmie - antara nama yang sentiasa meniti dibibir,Agak nakal, sukal dikawal- namun begitu, kekadang menghiburkan.)

Begitulah - aku terus bermain dengan perasaan dan menilai kemampuan serta mencari keyakinan diri bagaimana harus aku mulai menjadi seorang guru Kokurikulum yang baik, yang cemerlang dan yang menggembirakan.
(Maklumat gambar : GPK HEM SK Chabau - terima kasih kerana membantu)

Wednesday, August 10, 2011

Tuesday, August 9, 2011

Ramadhan yang sepi


Hari ini 10 Ogos, Ramadhan masuk hari yang ke 10, pintu rahmat yang dibuka akan lebih bermakna apabila dosa-dosa diampun pada 10 hari yang berikutnya. Mudah-mudahan aku termasuk dalam golongan yang dijanjikan.
Hari-hari terus dilalui, siang ternyata cukup panas. Hebat sungguh kesabaran yang dituntut.
Namun kepanasan tersebut tidak langsung mengganggu aktiviti anak-anak bermain basikal dan ada juga yang bermotorsikal, duduk berkumpul dirimbunan pokok .
Malam-malamnya ;
Sepi - tidak ramai yang bertarawih,
Golongan tua yang dah semakin uzur gagah juga datang meniti anak tangga surau, masuk saf dan gigih melewati tarawih dan witir, berdoa moga Ramadhan tahun depan dapat dirasai lagi(walaupun kudrat semakin lesu meniti waktu).
Ibu dan beberapa anak perempuan juga tidak berapa ramai, hanya beberapa saf. Terdengar anak kecil yang dibawa sesekali merengek ,tidurnya terganggu mimpi.

Sepi terus terasa, tidak seperti tarawih sebelum ini(tahun-tahun sebelum) - agak meriah dengan gelagat anak-anak nakal umur masuk belasan tahun, mengambil tempat berdiri sambil bergurau, sujud dan memberi salam walaupun tidak sempurna rukun dan sunat. Rebut moreh,walaupun sebenar perut masih penuh berisi air batu, sirap bandung, dapat karipap sekeping dua cukup seronok, terawih esok awal-awal dah datang.

Kini/hari ini suasana kian sepi, anak -anak tersebut telah besar , yang siang tadi sibuk berbasikal, bila malam penat, leka menonton tv , bermain HP dan bersMS. Berselawatlah datuk nenek, ibu ayah disurau bagi mereka bagai angin lesu yang bertiup melenakan.

Ya Allah, bukalah pintu hati semua umat manusia, kerana tahun ini ramadhan terakhir bagi mereka, Tekadkan azam dan marilah lalui hari-hari yang masih ada untuk menuju keredhaanMU.



Sunday, July 31, 2011

RAMADHAN DATANG LAGI



Alhamdulilah
Dengan keizinanMu, umurku bertambah lagi, Ramadhan Al Mubarak dapat juga ku sambut dengan tekad untuk berpuasa sebaik mungkin,
berazam untuk bertarawih sebanyak mungkin
bersama rakan-rakan bertadarus

Ya Allah permudahkan semuanya
Jauhilah aku dari kemurkaanmu
Berilah aku kekuatan
keteguhan iman
melalui Ramadhan ini
(Ramadhan terakhir mungkin)

Monday, July 11, 2011

DURIAN OH DURIAN



Seronok juga tahun ini apabila pokok buah-buahan di dusun yang tidak seluas mana berbunga mekar dan cukup tempuh pendebungaan di stigma masing-masing, maka berputiklah pokok-pokok tersebut.
Rambutan- memang saban tahun tidak mengecewakan - berbuah lebat.
Manggis - keistimewaannya merimbun, rendah, boleh dicapai tangan
Pulasan - nampak jelas walaupun kurang hujan untuk membesar
Nangka juga ambil perhatian, berbuah besar dan perlu dibalut agar terpelihara masaknya
Sukun - pertama kali berbuah, pokok dah mencapai awan, sukar dipetik
Aku perhati juga pokok dukung - kalau-kalau ada mengeluarkan bunga: hampa tahun ni tak berbuah, begitu juga langsat, yang kebiasaanya kuning mencelah(senduduk tidak berbunga lagi)
Durian : pokoknya paling banyak, bunganya paling mekar, putiknya beratur di setiap dahan. Benih dari pelbagai (D2 dan lain-lain)

Tiba masa buah tersebut mula meranum dan masak,
Saban petang, aku melewati setiap pokok,
Buah sukun dah meluruh jatuh - sukar dipetik, terlalu tinggi, sebiji dua sahaja yang dapat dibuat goreng . Makan bersama-sama anak-anak.
Membawa galah : mengait manggis dalam sangkak yang dibuat dari botol.Satu-persatu diturunkan.
Tupai berlari-lari menjauhkan diri.
Durian - terlalu hampa rasanya kerana setiah buah yang ada di atas pokok telah ditebuk tupai, dimakan seruang pun tak tinggal.
Di sebatang pokok yang rendah - buahnya aku balut/bungkus, mudah-mudahan yang ini dapat menjadi rezekiku.
Durian oh durian belum pernah tercatat dalam sejarah buahmu dibalut menunggu gugur .
Tupai oh tupai belum pernah tercatat dalam sejarah "tinggalkan sebiji dua untuk aku rasa,biarkan jangan dimakan semua," aku bercakap kepada mu, aku tahu kau dengar.

Wednesday, June 15, 2011

Monday, June 13, 2011

cuti yang memenatkan






Cuti persekolahan baru saja selesai. Hari ini 13 Jun, Hari pertama bagi penggal kedua.Letih dan penat sepanjang 2 minggu percutian masih belum reda. Penat benar rasanya. Inilah fenomena tua yang telah mula dirasakan.
Diawal cuti sempat dapat siapkan kerja-kerja meracun dan menabur baja di kebun yang didatangi segerombolan lembu- sempat memusnahkan beberapa batang anak getah yang baru berusia 2 tahun

1. Uruskan anak saudara(Ijat - Trolak Selatan) bernikah: Sebenarnya tidak ada apa kerja yang perlukan membanting tulang. jarak perjalanan sepanjang 3 hari (Jumaat 3 Jun - Ahad 5 Jun)itulah yang memenatkan. Sempat hitung Km yang ditempuhi- sejauh melebihi 800km.

2. Membantukan siapkan projek menyiapkan tapak mini di SK Chabau:
Kerja-kerja ini pada hari Isnin 6 dan 7 Jun. Aduhai terasa macam kerja kontrek(Macam oran Indon)memindahkan simen yang telah siap dibancuh untuk kerja-kerja melantai.

3. Urusan membantu anak yang akan berpindah ke JB- Memindahkan barang-barang keperluan dari Subang. 10 Jun 2011.
Hari ini Anak yang sulung dah 2 hari hari bekerja di KKIK - Bukit Cagar Johor Baru.
Anak yang kedua juga di JB - Pasir Gudang.
Penat-terubat juga bila anak yang kita fikirkan dah tamat belajar, nak kerja pula. Mudah-mudahan mereka mampu membina kehidupan sendiri yang lebih berjaya.Ayah dan ibu dah semakin tua, Nak jalan jauh pun dah terasa tak larat.Subhanallah. Alhamdulillah.

Tuesday, May 31, 2011

Umur baru 2 Tahun




Lelah juga rasanya, menguruskan kebun getah seluas 5 ekar lebih sikit. Hujung minggu meracun, kekadang buang tunas bila air yang ditakung habis. Menunggu hujan turun memenuhi tadahan, aku memotong rumput dijaluran tengah, biar tidak meninggi anak kayu yang tumbuh. Sehari dapatlah suku atau setengah jaluran. Kerja ini perlu berhati-hati takut serangga menyengat atau lubang yang boleh terbolos menyakitkan kaki. Memang terlalu penat rasanya.

Memang azamku, pada awal Jun ini kerja-kerja menabur baja patut ku lakukan. Jadi kerja-kerja meracun patut dihabiskan. 28 & 29 Mei tamat kerja itu, tapi memang terasa penat yang terlampau. Peluh dibadan membasihi baju, boleh ditadah air peluh yang diperah. Pagi itu aku datang dengan semangat yang tercalar, pintu agar dirempuh sekawan lembu(Entah berapa ekor), anak getah yang baru meninggi habis diratah, ada yang patah dipulas. Celaka lembu dan tuan punya lembu.

Pagi 30 Mei : 7.30 pagi, kerja-kerja membawa baja ke kebun bermula. ( 9 kampit - subsidi RISDA). 9.00 pagi kerja-kerja menabur baja dimulakan. Hingga 11.00 pagi hanya 4 kampit sahaja dapat aku selesaikan. Penat yang melampau. Tanah yang berbukit menyukarkan baja dibawa hingga ke puncak.
Petang aku mulai jam 3.15 petang. Mendaki dan menuruni lurah dan bukit. 6.00 petang baru selesai. Aku harapkan sedikit hujan esok, untuk memudahkan baja terurai. Hujan janganlah terlalu lebat. Tanah berbukit sudah pasti menguntungkan orang di bawah bukit.
Syukurlah pagi itu hujan turun, tidak lebat.......Alhamdullilah. Umurmu baru 2 tahun, suburlah, dan besarlah duhai getah......

Tuesday, May 17, 2011

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bah. Alor Gajah











Tarikh Mesyuarat : 15 Mei 2011



Tempat : ILP Selandar/9.00 pagi



Perwakilan Perhubungan UMNO Negeri Melaka ; En. Roslan (Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka.



Perwakilan UMNO Pusat/MKT : YB. Datu Noh Omar (Menteri Pertanian & Asas Tani)



Ulasan :



1. Agak kecewa juga apabila kita menerima sekadar KETUA PERGERAKAN PEMUDA NEGERI MELAKA, dalam majlis yang begini bermakna kepada ahli UMNO Bah. Alor Gajah. Beginilah layanan sebenar yang kita terima.



2. Lebih tidak selesa apabila agenda Melayu tidak dapat diperkatakan dengan jelas kerana persidangan turut dihadiri YB. Datuk R. Perumal (Pengerusi MIC Negeri) dan YB Datuk Fong Chan Onn (MCA Negeri Melaka). Ucapan Ketua bahagian yang sepatutnya penuh semangat jadi hambar dan berhati-hati.



3. Masa persidangan diambil terlalu banyak untuk memilih G7, sepatutnya telah ada perundingan diluar atau kompromi. Inilah senario UMNO Bah. Alor gajah, tidak pernah bersatu dan berpakat. Nak pilih 7 daripada 9 calon yang bertanding cukup membuang masa.



4. Merujuk penyata mesyuarat, AJK UMNO Bahagian Alor gajah bermesyuarat 2x dalam setahun, Laporan hebat Tahniah AJK bahagian, saya pasti tahun depan pertandingan lebih hebat walaupun koata perwakilan telah bertambah sekali ganda.



Saya tidak mampu menunggu lama, meninggalkan dewan , pengundian masih berjalan.
























16 MEI 2011

PUISI SEORANG CIKGU
Terima kasih anak didikku
Pagi ini kaudatang menemuiku
Dengan senyum dan sekotak
hadiah berwarna merah jambu
Sempena Hari Guru

Terima kasih anak didikku
Tidak lupa pada pesan dan
amanat cikgu
Gembur dan bajailah pohon ilmu
Biar merimbun menjadi
teduhanmu

Terima kasih anak didikku
Tidak lupa pada pesan dan
amanat cikgu
Mengawasi akhlak dan
tingkahlaku
Dalam tinggi iltizam dan iman
yang syumul

Terima kasih anak didikku
Pagi ini kau datang
menghampiriku
Dengan senyum dan sekotak
hadiah berwarna biru
Sempena Hari Guru.

Surat untuk Sahabat

14 Mei 2011
Assalamualaikum untuk sahabatku, Rosli bin Dani.
Tidak dapat terucap lidahku untuk berkata sesuatu apabila kita bertemu. Sesungguhnya pertemuan itu menyentuh hati, hiba benar rasanya apabila melihat kau masih mampu tersenyum.Masih lancar berbicara, masih petah bercerita.

Aku tersendu melihat tubuhmu semakin kurus, di sisimu sebatang tongkat bagi membantu pergerakan. Maha suci Allah, bersabarlah sahabat, tabahkan hati dengan ketentuanNya.

Aku dikhabarkan idapan sakitmu telah hampir 8 bulan. Tidak dapat kubayangkan keadaanmu ketika itu, kesukaranmu ketika itu, peri payahnya perjalanan kehidupanmu.Bersabarlah.

Kau sempat juga bercerita menyebut beberapa sahabat kita yang satu ketika dulu cukup akrab menghabiskan usia kanak-kanak. Sempat mandi sungai, dan lain-lain lagi.Kita sebut juga beberapa kita yang telah mendahului kita. Mudah-mudahan mereka mendapat keampunan dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.Itulah doa kita, insyaallah mudah-mudahan dikabulkan Allah.

Sahabatku,
Surat ini ku tulis walaupun aku tahu kau tidak akan dapat membacanya, aku tulis selang beberapa hari pertemuan kita. Aku tidak mahu dibelenggu hiba yang teramat sangat sekiranya aku tulis surat ini tergesa-gesa. Aku cukup terkilan sampai waktu ini.... aku lupa sepatutnya kita bergambar - sebagai kenang-kenangan, aku pun tak tahu bila lagi kita dapat berjumpa. Kau jauh di utara, balik kampung pun entah bila lagi berkesempatan. Kau semakin uzur tentu semakin sukar untuk bergerak jauh.

Namun, aku cukup yakin dengan kekuatan yang ada dalam dirimu. Mungkin kau masih ingat, kau merupakan ketua murid SKMB tahun 1970 (kita Darjah 6), Masa tingkatan 5 sastera B, kalau tak silap kau pun ketua kelas masa itu(1975), lepas itu kau masuh tentera, lagi hebatlah penampilan diri dan disiplin diri, kekuatan fizikal dan emosi. Aku yakin kau mampu mengharungi kehidupan ini dengan tabah, tenang dan kuat. Aku cukup yakin. Riak muka dan senyum yang kau lempar padaku tempuh hari memceritakan semua keyakinan itu.

Aku tetap berdoa, kau akan sembuh dan seterusnya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Dapat beramal, solat, puasa, beramal jariah dan menunaikan fardu Haji(sekiranya belum). Aku yakin juga, isteri tercinta akan sentiasa bersamamu mengharungi kehidupan susah senang bersama.Bersabarlah.

Akhir kalam, rasa tak puas kita bercerita tempuh hari, tak apalah sekurang-kurangnya pertemuan itu memberi makna yang besar kepada kita Insyaallah.
Mohon maaf, dari aku dan isteri.
Terima kasih.

Monday, May 9, 2011

suka dan duka 9 MEI 2011

Tarikh 9 Mei datang lagi buat kali yang ke 53. Benarlah kata anak-anakku ayah sudah semakin tua.
12.01 th malam, katanya aku terima SMs pertama "ucapan selamat hari lahir: waktu itu aku tidur terlalu lena kerana aktiviti berat pada siangnya.
Aku terus terima ucapan dari isteri, anak-akan dan rakan-rakan. Terima kasih semua.
Dalam usia begini,aku terus lalui kehidupan dengan kadar biasa. Tiada rancangan tertentu untuk selebrit.
Aku panjangkan kesyukuran Kehadrat Allah SWT kerana kehidupan yang diberikan,

Subhanallah
Tengahari itu aku terima berita kematian jiranku. Telah menderita lama penyakit Barah tulang.Telah terlalu menderita.Innaillah....(arwah Sakinah Othman- Ibu gigih)
Cukup terusik juga kerana pada masa yang sama - Ibunya uzur, Kakak tidak sihat,2 orang abang juga sakit. Agak kritikal juga) Selesai jenazah di solat, dan diusung ke pusara, aku sempat menziarahi mereka yang sakit. Cuma ucapan kata bersabarlah...... termampu diucap.

Alhamdulilah
Petang itu, aku terima berita, anakku , Nadhirah berjaya dalam temuduga kerja di Pasir Gudang Johor. Gembira rasa hati. 16 Mei daftar diri. Syukur Alhamdulillah.

Malam : aku ke majlis Tahlil arwah Sakinah, mudah2an diterima amalan dan ditempat dalam kalangan muslimat yang mendapat syufaat . Insyaallah.

Wednesday, April 27, 2011

masih di sini

Masih di sini
Tidurlah mata
walaupun buat seketika
aku ingin mimpi dahulu
yang hilang ditelan waktu

Berlabuhlah malam
walaupun bulan tidak mengambang
biarkan pungguk berkirim salam
kepada bulan yang lama
menghilang

Berkeliplah bintang
walau langit diselimuti awan
tidak akan pudar kasih dan
sayang
selagi ada nyawa di badan!
Dengarlah bulan
bisikan pungguk yang merindu
bintang berkelipan
tidak seindah purnamaMu!

Hadirlah pagi
bawa bersamamu warna pelangi
hiasilah kekosongan hati
yang tidak didatangi mimpi

begitulah indahnya
bila masih ada rasa cinta
walau gersang seluas benua
hati yang kasih indah berbunga
"Aku cinta kamu
selagi ada hayat ku!"

Malam ini, aku masih di sini
dan kamu masih di sana
aku masih mencari mimpi
waktu-waktu kita bersama!
Adakah kamu juga
merenungi malam dari jendela?

hari ini/28.4.2011.kenapa?

Pagi-pagi dah rasa bosan,Bangun tidur agak lewat, walaupun dah tersedar awal.Tergesa-gesa ke masjid untuk solat Subuh. Macam biasa, solatku bagai kosong, tiada kekhusyukan. Maha suci Allah mengapa jadi begini.
Sampai ke sekolah, macam biasa tidak terlalu awal. Lihat anak murid: semua masih kecil,pelbagai riak air muka.Lihat kelakuan mereka. Ada sedikit kekesalan dalam hati,terkandung rasa terkilan yang amat sangat. Dah hampir 10 bulan di Sekolah rendah(30 tahun mengajar di sekolah menengah- memahami rentak dan situasi murid-murid)timbul pelbagai persoalan. Apa yang dapat disimpulkan telahan tentang mereka amat jauh berbeza.Mungkin mereka ini datang datang tempat yang sama, maka perangai mereka turut sama, mungkin mereka dari kelompok masyarakat yang sama situasi mereka(Sekolah rendah dan sekolah menengah) adalah sama.
Sepatutnya mereka ini : mudah dibimbing, dengar kata, ikut cakap,patuh dan para guru mudah membimbing(ibarat kain putih masih bersih mudah dicorak agar lebih cantik dan menarik), mereka ini ku rasakan ibarat kain putih yang sudah ada sedikit palitan kekotoran yang agak sukar dibersihkan. Mereka agak sukar untuk mendengar kata, sukar mematuhi arahan,bimbingan kerja sukar dipatuhi.. Memang tugas guru untuk mengajar membentuk peribadi mulia, tetapi kerja ini sudah semakin sukar dari peringkat awal lagi. Kadang-kadang mereka sukar dikawal.Masyaallah kenapa?

Saturday, April 16, 2011

Mesyuarat Penyelaras UMNO DUN ASAHAN/Program bongkar



Mesyuarat telah diadakan pada 15 APRIL 2011, 9.00 malam.
Macam biasalah apabila mesyuarat begini diadakan sambutan dalam kalangan ketua UMNO DUN Asahan(19 orang cawangan) sambutan amat kurang.Ada ketua UMNO Cawangan yang tak kisah langsung,tak pernah datangpun.Ada yang hantar wakil. Begitulah Malangnya DUN Asahan, yang kerap berkokok luar gelanggang nak kan ADUN dalam kalangan UMNO. Tapi diri tiada kualiti, malas, tiada idea dan mahu jadi ketua UMNO Cawangan sampai bila-bila(ada yang dah jadi ketua lebih/hampir 20 tahun), yang penting dapat jadi Pengerusi JKKK, Jadi ahli majlis, jadi Ali Lembaga Pengarah GLC. PRU 13 harap ADUN orang UMNO, tapi siapa?
Agenda penting Mesyuarat tersebut ialah: Penubuhan JK Program BONGKAR yang akan diadakan pada 29 April 2011. Lihatlah nanti bagaimana program itu dilaksanakan.

MESYUARAT BONGKAR KE-2 pada : 20 APRIL 2011
Situasi yang memag telah dijangka sambutan daripada ketua-ketua UMNO bertambah sepi, sambutan memang hambar, yang TERBONGKAR kepaduan UMNO DUN ASAHAN longgar, yang terBONGKAR kehadiran 2 personaliti :Ketua UMNO Bahagian dan ADUN Asahan tidak menghangatkan mesyuarat. Tak tahulah bagaimanalah nanti perjalanan program tersebut.
Mesyuarat tamat jam 10.00 malam,terlalu cepat dan ramai yang tidak berminat untuk duduk-duduk bercerita, mereka bangun dan terus balik.

Sunday, April 10, 2011

Persidangan Tahunan UMNO Caw. Pondok Batang





Tarikh Persidangan : 10 APRIL 2011/2.30 petang Tempat : Balairaya Kg. Abbey Kehadiran Ahli UMNO : 97 orang Wakil Bahagian Alor Gajah: UMNO : Tn. Hj. Alimat bin Ali Wanita : Pn. Hjh. Hanipah bte Md. Nor Pemuda : En. Suhaizan Noh Puteri : Pn. Hasniza bte Khusairi Persidangan dijalankan oleh En. Rozmi bin Ab. Rahim

Tuesday, April 5, 2011

Pilih kasih terbuang - pening & was-was




Petang tadi, 5 April 2011, kelas ICT tertangguh sebentar.Rosyam Nor datang. Cikgu-cikgu sedikit teruja, sempat bergambar.

Monday, March 28, 2011

syabas & Tahniah




Tarikh : 28 Mac 2011(Isnin)

Tapak Perhimpunan/Dataran ilmu SK Chabau.

Majlis Penyampaian Hadiah 1. Kejohanan Olahraga dan Balapan MSSKJ yang berlangsung pada 22 - 24 Mac 2011:

Pencapaian yang diperoleh ialah sekadar 1 pingat emas : acara Lontar Peluru

Nama peserta : Mohd Irfan bin Zaini : L10


2. Majlis Tilawah Pendidikan Khas Zon Jasin

Kategori : Bercerita Kisah Nabi & Azan Subuh : Johan

Hafazan : Muhd Alif Aiman bin Roslan.


" Warga SK Chabau bangga dengan kejayaan yang dicapai"

Sunday, March 27, 2011

ribut membadai



Tarikh : 23 Mac 2011, Rabu, jam 4.00 petang.
Lokasi: Kg. Pondok Batang.
Takziah kepada 2 keluarga yang terlibat dengan ribut yang melanda.
Rumah yang terlibat rosak teruk, zing berterbang, Mujur tidak melibatkan nyawa.
Bersabarlah dengan dugaan ini.
Moga malang yang menimpa menjadi iktibar dan insaf dengan keagongan Allah.

Monday, March 7, 2011

Nenek uzur


Pagi itu (isnin) : 7 Mac 2011. Aku kelas Tahun 4A2.
Peperiksaan PKSR 1 baru tamat. Biasanya waktu ini aku gunakan untuk membincangkan soalan ujian tersebut.
Dari satu soalan ke satu soalan dibincangkan. Biasalah murid sekolah rendah, walaupun agak kecil,agak nakal dan menghiburkan. Murid cuma 19 orang.
Soalan berikutnya berbunyi:
Bukhari selalu melawat neneknya yang sedang uzur di kampung.
(perkataan seerti bagi : uzur)ialah:
- Minta Fateha jawab : Uzur bererti datang bulan, cikgu.
- Minta Aisyah jawab : Uzur bererti datang haid, cikgu.
(mereka berdiri dengan yakin dan sebut dengan jelas tanpa malu)
(Cikgu tak setuju jawapan mereka) : Semua pelajar kata Uzur bermakna datang haid - guru sekolah agama petang beritahu)
Saya setuju, tapi saya maklumkan dalam kontek ayat tersebut uzur bermakna tidak sihat atau sakit.
(Masa pengajaran tamat :saya keluar kelas dengan senyum dan puas hati P/p hari ini. hari ini murid sudah semakin bijak dan guru perlu mendidik dengan berhemah, agar mereka menjadi insan yang beramal mulia.)

Sunday, February 27, 2011

yaa hoo Dirah dapat keje




Tadi,27/2/2011, kami Ke Dewan Datuk Ahmad Hj. Ithnin(Bapa Roslan Ahmad, calon BN kawasan Merlimau) untuk sesi temuduga terbuka, kami dikhabarkan 15 Agensi dengan hampir 1000 tawaran kerja.
Kami sampai pukul 10.30 pagi, suasana dah agak sesak,Pencari kerja hadir dengan penampilan yang tiptop bersopan, cuma Dirah saja agak kurang dari segi penampilan. Kami singgah dibeberapa agensi, isi borang dan tinggalkan biodata diri.
Bagi agensi "Kolej Uniti" sesi temuduga dilakukan.
Ada penemuduga Haji Kay, ada soaljawab,
Dan tawaran kerja diberikan secara lisan,
Daftar pada 7 Mac 2011, di Pasir Panjang Port Dickson.
"Apa yang dimusykilkan-tawaran yang cukup mudah secara lisan,
makluman tentang gaji dan jawatan pun secara tidak jelas"
Apapun dalam rasa tidak percaya, Dirah dah dapat kerja dan sedang memerah otak untuk menetapkan keyakinan dan kepastian.
Bidalan orang tua "Berjagung-jagung dahulu sebelum padi masak " atau " tuai mana yang masak dahulu" amat sesuai untuk situasi ini. supaya kita tidak menggenggam angin.
Insyaallah, mudah-mudahan ini rezeki awal.Alhamdulillah .

Saturday, February 19, 2011

Perjumpaan Ketua UMNO Cawangan dengan JKKK Pondok Batang/Abbey




Teks ucapan Ketua UMNO Cawangan dalam majlis tersebut
Assalammualaikum, Selamat Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.
Yang dihormati Encik Usly bin Abu, Pengerusi Jkkk, Encik Md. Sali Abdul, setiausaha JKKK, Puan Hjh Hasmah bte Silong, Ketua Pergerakan Wanita UMNO cawangan,Pn. Saliza Md. Shah, Ketua Pergerakan Puteri Cawangan, Tuan Haji, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
Awal bicara, saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga,terutama kepada Pengerusi JKKK kerana menerima permintaan saya untuk hadir dalam mesyuarat JKKK pada bulan ini. Sebenarnya kehadiran saya bukan niat untuk memantau perjalanan mesyuarat, jauh sekali untuk mencari kesilapan mana-mana pihak.Niat utama kehadiran saya adalah untuk sekadar mahu bertemu muka dengan semua AJK JKKK yang telah dilantik. mahu mengucapkan tahniah dan syabas, dan lebih penting berhasrat menyuntik semangat agar terus bertenaga menguruskan kampung, membantu Pengerusi JKKK, berganding bahu menterjemahkan slogan YAB Perdana Menteri "Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan."
Saya secara peribadi mengucapkan tahniah terutama kepada pengerusi dan semua JK kerana selepas bulan Jun(Peralihan kuasa) kampung dapat diurus dengan baik. Terutama dalam insiden banjir yang baru lalu. mangsa banjir telah menerima bantuan yang sepatutnya dari semua pihak.
Saya memohon kemaafan kerana dalam tempuh tersebut banyak program yang tidak dapat saya sertai/ikut serta antara Jamuan Hariraya, Gotong Royong dan semasa banjir. Ini tidak dapat saya elakkan kerana saya terlibat dengan ketentuan yang lain. Saya Mohon maaf.
Pada kesempatan ini juga saya ingin maklumkan apa sahaja program kampung, wajarlah diutamakan Pengerusi JKKK. saya sebagai Ketua UMNO rasa agak janggal kalau dalam majlis tersebut diminta berucap atau merasmikan.Saya lebih utama dalam majlis yang berbentuk perhimpunan politik. Saya tidak menolak kalau saya diperlukan berucap. Saya sudi datang walaupun melalui panggilan SMS atau telefon. Tidak menjadi masalah.Tidak perlulah ada cenderahati atau buah tangan diberi kerana ini program kita bersama.
Untuk perkembangan politik cawangan, saya ingin maklumkan bahawa mesyuarat cawangan akan diadakan mulai bulan Mac, mohon ketua sayap dapat membuat persediaan. Setiausaha akan uruskan surat panggilan, buku mesyuarat dan persiapan tempat. Mesyuarat biasa ,tiada pemilihan sehingga 2014. Saya juga mohon Pengerusi JKKK menyiapkan senarai pendek projek kampung sebagai persediaan awal persiapan pilihanraya ke 13. Jentera piliharaya akan saya susun mulai sekarang.
Akhir bicara saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada semua AJK yang dilantik,Mohon kerjasama bantu Pengerusi JKKK .
Mohon Maaf dan terima kasih.