Tuesday, August 31, 2010

Kereta baru ( Isteri punya)




Ayah tumpang gembira, bawa kereta baru mak, warna putih, berseri-seri.
Ayah dah tak ada kereta. kereta lama dah tinggal kenangan.
Ayah tumpang bawa emak pergi kemana-mana.

Wednesday, August 25, 2010

26 OGOS 1961 - 49 tahun




Selamat hari lahir - isteriku
Sehingga sampai kini
ku masih tak pasti
kau berasa gembira
ku masih tak pasti
kau berasa bahgia
atau apa
Cuma Yang masih aku cari
setiapketika
kucuba
sedaya mungkin
untuk membuatkan kau
berasa gembira
di sisi
Terima kasih isteriku
beri aku waktu
walau singkat
akan ku jalin rindu
menjadi dekat



Terima kasih, aduhai
beri padaku cinta
akan ku bina rumah kita
berbumbung setia
ruang teduh bersama
meniti usia
sampai bila-bila.

Tuesday, August 10, 2010

Aduh ! sakitnya





Masa yang beredar cukup terasa,langkah yang dihayun bagai meniti atas bara merah menyala. Cukup sakit Kaki ini . Kemana pun aku pergi bercerita tentang rasa sakit ini, semuanya memberi amaran GHAOT telah menunjuk tanda-tanda. Telah aku usahakan pelbagai cara untuk meredakan rasa sakit ini.
Aduh pedihnya, aduh sakitnya. Aku berbekam. Diberitakan inilah rawatan sunnah Nabi Muhamad SAW.
Aduh, betapalah darah yang dikeluarkan menitis bertali
Bisa yang ditinggalkan mengganggu lena semalaman
Mudah-mudahan sembuh melegakan badan
Masih aku terasa: sakit dan bisa
Masih aku berharap sembuhlah segera
Tak tertahan
tidak tertanggung

Ya Allah : Berilah aku kekuatan untuk sampai kepenghujung jalan
Melangkah lemah tanpa mengeluh
Sampai kepenghujung usia
Amin,
Subhanallah.

Tuesday, August 3, 2010

BELASUNGKAWA ABAH 04/08/09



Meninggal Dunia : 4 Ogos 2009 (7.05 petang)
Umur : 77 tahun
Sakit : Sepsis Two Severs Preumonia
Hospital Besar Melaka


Setelah lelah menahan kepayahan. Bertahun terlantar dalam jagaan isteri dan anak-anak. Akhirnya Abah pergi, dalam syahdu dan redha.
Matanya tatkala menatap kami,
terpancar seribu kepayahan
Matanya : tatkala mentap kami
tumpah selaut kasih,
luasnya rasa cinta
membentang kemesraan
yang tak pernah berkesudahan
tahulah kami kini
jasa abah adalah pengorbanan maha suci
tak terbalas hingga ke mati
Emak yang dititipkan
sepi, suram melewati ruang waktu
yang tak pasti
Berulang mengejar mimpi semalam
memohon sejahtera suami
memohon Rahmat dan syufaat

Tatkala menatap wajah abah
Bibir terketar seolah bicara
kami dengar dalam lemah
Anakku
Jika kau tak mampu menjadi seperti air hujan
yang menyegarkan tumbuhan
yang menyuburkan tanaman
Cukuplah jika kau menjadi seperti air di pancuran
yang menyegarkan badan
yang menyihatkan fikiran
Anakku :
Jika kau tak mampu menjadi seperti bulan
yang menyinari alam
yang menerangi malam
cukuplah jika kau menjadi seperti dian
yang menyuluh kelam
yang membunuh suram
Anakku
Jika kau tak mampu menjadi seperti rumput permaidani
yang memberi kelembutan
yang memberi kecantikan
Cukuplah kau menjadi seperti lumut di perigi
yang memberi kehijauan
yang menjadi makanan ikan-ikan
Jika kau tak mampu menjadi
seperti bunga di jambangan
yang mekar menghiasi laman
yang menyeri taman
cukuplah jika kau menjadi
seperti bunga di hutan
yang mengindahkan persekitaran
yang menyaman pandangan
Atau anak-anakku
jadilah apa-apa yang kau suka
yang Tuhan Tidak Murka
yang habuan bukan dosa
yang anugerah pahala dan syurga
Abah akan bahagia di pusara
Emak akan bahagia di dunia
menjejaki abah yang entah bila.

Sunday, August 1, 2010

Pendidikan Seni Tahun 5






bagaimana nak digambarkan rasa tidak selesa bila Guru Besar memaklumkan Matapelajaran yang akan diajar. Mata Pelajaran ini benar-benar merisaukan. Paling tidak menggembirakan.
Khamis 22 Julai , aku ke kelas Tahun 5 untuk Mata peajaran P.Seni (12.10 hingga 1.10 tengahari).Satu jam. Lama. Idea datang. Aku minta pelajar membuat Kad Selamat Datang.Aku
beri kebebasan untuk menyiapkannya.
Hebat juga kemampuan pelajar ini. Kreatif dan bersungguh-sungguh. Tahniah.Namun bagaimana esok lusa nak lukis apa pula. aku masih mencari idea.

gambar selamba di SMK. Nyalas

Aksi yang tidak dirancang, begitulah